Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyez yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ini ke negara ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan berkenaan diyakini dapat meningkatkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama Malaysia- Uzbekistan.
“Pagi tadi saya meraikan Tamu Kenegaraan, Presiden Uzbekistan Шавкат Мирзиёев – Shavkat Mirziyoyev yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.
“Ini adalah lawatan pertama beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden pada Disember 2016. Ini juga adalah kunjungan balas susulan lawatan saya ke Uzbekistan pada Mei tahun lalu.
“Melewati latar belakang Masjid Putra usai istiadat, saya dan Presiden Shavkat kemudian menghadiri mesyuarat terhad bersama kedua-dua pimpinan bagi membincangkan isu-isu strategik terkait kepentingan kedua-dua negara, antaranya pelaburan, perdagangan, semikonduktor dan pelancongan,”katanya.
Terdahulu, Presiden Shavkat dan delegasi yang tiba di Perdana Putra diberi sambutan rasmi dan pemeriksaan pasukan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Semalam, Presiden Shavkat dan dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 8.30 malam.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyambut ketibaan Mirziyoyev dan delegasinya.
Presiden Shavkat juga dijadualkan menghadiri Forum Perniagaan Malaysia- Uzbekistan di Kuala Lumpur yang memberi peluang untuk meneroka kerjasama ekonomi dan mengukuhkan lagi hubungan perniagaan antara komuniti perniagaan kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Petronas. – MalaysiaMADANI
Lawatan rasmi Presiden Uzbekistan pertingkat hubungan dan kerjasama dua negara
05
Feb