Malaysia akan memainkan peranan lebih luas sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan meningkatkan kerjasama strategik dalam beberapa bidang penting, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara bidang yang akan dipertingkatkan termasuklah ekonomi, pelaburan, pertahanan tenaga baharu, pelancongan, kemampanan dan kecerdasan buatan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memainkan peranan lebih luas dan meningkatkan kerjasama strategik dalam beberapa bidang antaranya ekonomi, pelaburan, pertahanan tenaga boleh baharu, pelancongan, kemampanan dan kecerdasan buatan,.
“Hal berkenaan termasuklah meningkatkan sinergi perdagangan dengan negara-negara anggota Malis kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council-GCC) dan ASEAN selain pelaburan dengan syarikat gergasi Emiriah Arab Bersatu (UAE),”katanya .
Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan kumpulan media bagi memberi penerangan dan penjelasan terkait kejayaan dan sinergi pelaburan yang telah dicapai.
Katanya lawatan pertama ke luar negara ini berjaya dan boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
“Saya jelaskan bahawa lawatan pertama ke luar negara tahun ini membuahkan kejayaan yang sangat bermanfaat untuk rakyat dan juga negara.
Beliau pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada UAE dan berharap akan kembali lagi ke negara tersebut.
Terima kasih UAE, moga bertemu lagi dan kini misi delegasi Malaysia bergerak ke London, United Kingdom dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau mengadakan lawatan kerja ke negara itu selama tiga hari bermula Ahad lalu dan memanfaatkan lawatan berkenaan untuk meneroka peluang mengukuhkan kerjasama serantau atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Lawatan ke UAE berkenaan adalah memenuhi undangan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheik Mohammed Bin Rashid Al Maktoum bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW). – MalaysiaMADANI