Kerajaan MADANI komited memanfaatkan gagasan pemikiran dan karya-karya Profesor DiRaja Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas untuk pembangunan ilmiah rakyat dan negara melalui kegiatan-kegiatan ilmiah yang bakal dirancang.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menziarahi filasuf bangsa yang juga ilmuwan ulung tanah air, Prof DiRaja Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Katanya, peranan instrumental Syed Muhammad Naquib sebagai pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) telah menarik minat generasi ilmuwan tersohor dari seluruh dunia untuk melanjutkan pengajian, mengajar dan melaksanakan penyelidikan ilmiah di Malaysia.
“Khutub khanah ISTAC sememangnya tersohor sebagai antara perpustakaan terunggul di negara Islam yang menghimpunkan koleksi khas bahan ilmiah, kesusasteraan dan ketamadunan serta kebudayaan untuk pengajian peringkat tinggi,” katanya.
Terdahulu Anwar berkata pertemuan berkenaan telah mengimbau kenangan lama ketika bergelar mahasiswa ketika menelaah teks karya besar khususnya ‘Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’ serta ‘Islam and Secularism.
“Sebagai anak muda ketika itu, saya turut bertuah kerana sering terlibat menyaksikan wacana dan perdebatan ilmiah yang begitu mengasyikkan antara beliau dan seorang lagi gergasi ilmuwan negara yang juga merupakan kekanda beliau, Prof Dr Syed Hussein Al-Attas,” katanya.
Pertemuan penuh sejarah itu turut disertai Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan anak sulungnya, Nurul izzah Anwar. – MalaysiaMADANI