Institusi pendidikan dan universiti termasuk Universiti Malaya (UM) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara digesa memanfaatkan pameran-pameran yang mengetengahkan pertukaran budaya bersejarah dan dunia Melayu.
Gesaan itu dikeluarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana melihat perkara itu penting selain dapat menyelami sejarah penceritaan terutama berkaitan penyebaran Islam yang menyumbang kepada pembentukan warisan Melayu-Islam dinamik termasuk kebudayaan dan keseniannya.
Terdahulu beliau hadir ke Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) di Kuala Lumpur untuk meluncurkan pameran “Samudera Berbicara: Pembentukan Dunia Melayu-Islam”.
“Malam tadi saya dan Azizah hadir ke Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) di Kuala Lumpur untuk meluncurkan pameran “Samudera Berbicara: Pembentukan Dunia Melayu-Islam” yang cukup istimewa dan unik kerana ianya menelusuri perkembangan Islam di Alam Melayu.
“Pameran ini melihat Alam Melayu dalam bingkai Islam dari sisi pandang yang berbeza dengan kepelbagaian budaya dan seni bersandarkan kehebatan sejarah dan warisan yang menjadi kebanggaan rantau Alam Melayu,” katanya.
Pada majlis sama beliau menyampaikan ucapan tahniah kepada Tan Sri Syed Mokhtar Al- Bukhari dan MKIM atas inisiatif penganjuran pameran berkenaan.
Katanya usaha berkenaan diharap dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dalam memahami mesej dan ibrah di sebalik artifak, manuskrip dan karya yang dipersembahkan dalam pameran berkenaan.
Ketika berucap Anwar mengimbas kembali pengalaman Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz membawa pulang manuskrip ‘Aqa’id al-Nasafi’ pada tahun 1984 dari Eropah, karya penting dalam akidah yang diterjemahkan pada abad ke-16.
Ia juga merupakan salah satu penemuan penting oleh Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas mengupas mengenai manuskrip ini dalam bukunya ‘The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of The Aqa’id of Nasafi’.
Katanya manuskrip seumpama itu dan sumbangan tokoh ulama seperti Syamsudin as-Sumatra’i, Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri memberi gambaran rantau ini kaya dengan pengalaman intelektual dan debat dalam pelbagai disiplin ilmu. – MalaysiaMADANI