Berita, PROGRAM DUA TAHUN KERAJAAN MADANI

Anwar rasmi program 2TM, Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam hari ini

Perdana Menteri dijadual merasmikan Program Dua Tahun MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 kira-kira 11 pagi  di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan program itu diikuti dengan sesi dialog awam dan Deklarasi Kuala Lumpur-Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia.

Menerusi sesi tersebut, pengunjung berpeluang untuk bersemuka dan mengutarakan pandangan secara langsung bersama pemimpin nombor satu negara.

Penganjuran yang berlangsung sejak Jumaat hingga esok turut menghimpunkan semua kementerian dan menyediakan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat.

Kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun sehingga 60 peratus mendapat sambutan positif dengan kunjungan orang ramai.

Kelihatan orang ramai mula beratur sejak 7 pagi pada hari pertama pertama penganjuran bagi mengambil peluang yang disediakan bagi melangsaikan tunggakan saman selain mengunjungi reruai lain yang menyediakan perkhidmatan secara terus.

Pelbagai perkhidmatan lain turut disediakan termasuk penukaran topi keledar baharu bagi menggantikan yang lama atau rosak serta penukaran al-Quran rosak, lama atau tiada perakuan Kementerian Dalam Negeri.

Turut berlangsung Jualan MADANI yang menyediakan barangan keperluan asas dengan tawaran diskaun sehingga 30 peratus, lebih 40 majikan mengambil bahagian dengan menyediakan 3,000 peluang pekerjaan di karnival kerjaya serta karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Orang ramai  juga berpeluang mendapatkan al-Quran baharu daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan membawa al-Quran lama yang tidak mempunyai perakuan KDN atau rosak selain boleh membuat semakan senarai hitam di kaunter serta pelbagai aktiviti menarik lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dijadualkan hadir sama pada majlis berkenaan. – MalaysiaMADANI