Berita, PROGRAM DUA TAHUN KERAJAAN MADANI

PM ajak orang ramai meriahkan 2TM, peluang rakyat kongsi hasil kerja Kerajaan MADANI

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai memeriahkan Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Katanya program ini merupakan inisiatif kerajaan untuk meraikan rakyat dengan berkongsi hasil kerja keras selama tahun mentadbir dengan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan Kerajaan di satu lokasi.


“Ayuh hadir beramai-ramai ke Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen KLCC.

“Insya-Allah, saya akan turut hadir merasmikan Program 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 pada Sabtu ini,” katanya.

Bertemakan MADANI di Hati, Rakyat Disantuni, program berkenaan turut membentangkan laporan berkala mengenai status pelaksanaan yang telah diambil kerajaan.

Ia bakal menjadi detik penting untuk penjawat awam yang bakal memperbaharui tekad, selaras agenda reformasi perkhidmatan awam di bawah Kerajaan MADANI.

Sepanjang penganjuran selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad ini, pelbagai aktiviti dan perkhidmatan menarik disediakan kepada pengunjung antaranya reruai usahawan serta Jualan Rahmah MADANI.

Selain itu agensi-agensi kerajaan akan membuka kaunter khas seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyediakan kaunter bayaran saman dan pertukaran topi keledar, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, tawaran pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 60 peratus.

Malah, pengunjung juga berpeluang untuk mendapatkan potongan harga untuk barangan keperluan.

Program 2TM merupakan anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) turut libat kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta serta pihak berkepentingan.

Malah ia merupakan kesinambungan program Setahun Kerajaan MADANI yang diadakan Disember tahun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil.- MalaysiaMADANI