Berita

Pelan Strategik Putrajaya Sihat Sejahtera diperkenalkan, lahirkan penjawat awam sihat dan produktif

PELAN Strategik Putrajaya Sihat Sejahtera (PSS) diperkenalkan dalam menjayakan hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai penjawat awam yang memiliki status kesihatan baik, produktif dan berdaya tahan, sekali gus dapat menyumbang kepada pembangunan negara dengan lebih komprehensif.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelan tersebut diluluskan ketika mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Bilangan 2/2024 hari ini. 

“PSS dilaksanakan melalui pelbagai strategi yang dirancang untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan mental penjawat awam menjelang tahun 2030 dengan tumpuan utamanya adalah untuk mengurangkan risiko kesihatan dan membudayakan gaya hidup sihat di tempat kerja.

“Strategi utama yang dibincangkan termasuk pengukuhan literasi kesihatan, intervensi kesihatan melalui amalan gaya hidup sihat, pengukuhan kelestarian persekitaran, pemerkasaan nilai ownership dalam kesejahteraan kesihatan melalui pengiktirafan kepada rakan strategik dan peluasan perkhidmatan Wellness on Wheel (WOW),” katanya.

Beliau pada masa sama menjelaskan, PSS akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa rintis yang akan bermula pada 2024 hingga 2025 dan diikuti dengan tinjauan keberkesanan fasa rintis pada penghujung tahun 2025.

“Kejayaan pelan ini akan dinilai melalui kajian dan tinjauan kesihatan yang dijalankan sehingga 2030,” katanya lagi.

Malah, kejayaan inisiatif PSS bergantung kepada pemerkasaan penjawat awam dan komitmen rakan strategik dalam ANMS iaitu pembabitan semua kementerian, jabatan dan agensi. 

“Saya yakin kejayaan pelan ini bergantung kepada penglibatan semua pihak termasuk setiap Kementerian, Jabatan, dan Agensi dan melalui konsep Whole of Nation, kita akan bekerjasama untuk memupuk kesejahteraan kesihatan rakyat Malaysia. Insya-Allah.”katanya. – MalaysiaMADANI