Berita

Pendidik MARA berpeluang jalani latihan berfokus di luar negara

PENDIDIK Majlis Amanah Rakyat (MARA) berpeluang untuk menjalani latihan secara berfokus sama ada di dalam atau di luar negara menerusi Skim Latihan Pemerkasaan Pendidik MARA, kata Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata skim yang dilancarkan sempena Hari Anugerah Pendidik MARA 2024 itu memberi fokus terhadap pemerkasaan pedagogi, penguasaan kandungan pengajaran dan kepimpinan instruksional.

“MARA telah memutuskan untuk menghantar tenaga pendidik berkenaan ke lima buah negara antaranya Finland, Jepun, Jerman, China dan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Hari Anugerah Pendidik Mara 2024 yang berlangsung di Hotel Premiera.

Katanya pihaknya telah mengenalpasti beberapa tenaga pengajar yang akan dihantar dan 19 pendidik MARA telah terpilih dalam program berkenaan.

“Seramai 19 pendidik MARA telah dipilih untuk mengikuti pendidikan lanjutan TVET ke China dan akan dihantar bermula bulan ini hingga September.

“Ini merupakan skim baharu yang diperkenalkan semata-mata untuk memberikan pendedahan dan motivasi kepada pendidik MARA untuk terus memperlihatkan prestasi mereka cemerlang,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, skim berkenaan dilancarkan juga bertujuan untuk pendidik MARA menjadi tenaga pengajar dalam Skim Training For Trainers yang boleh mengajar pelajar dan pendidik lain.

“Saya sedar tugas mendidik kini sangat mencabar, sebab itu Kerajaan telah memperuntukkan RM58.7 bilion untuk sektor pendidikan bagi memperbaiki sistem pengurusan, infrastruktur dan pembelajaran.

“Saya percaya, MARA akan terus menjadi peneraju dalam sektor pendidikan negara, melahirkan pelajar yang cemerlang dan berakhlak mulia. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua penerima anugerah pada Majlis Anugerah Pendidik MARA 2024 ini,” ujarnya.