Berita

Kerjasama MCMC-MIDA bawa manfaat penggunaan teknologi 5G

KERAJAAN MADANI memberi jaminan sektor vertikal serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat manfaat penggunaan teknologi 5G.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memberikan sokongan teknikal dan latihan menuju integrasi 5G, selain menekankan kepentingan memanfaatkan kemajuan teknologi 5G kepada industri terlibat.

“Hari ini saya dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara MCMC dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara MCMC dan MIDA.

Fahmi berkata, MIDA akan berperanan untuk kenal pasti syarikat berpotensi yang dapat memanfaatkan teknologi 5G dalam memajukan perniagaan masing-masing.

“Insya-Allah, melalui usaha kolektif ini, kerajaan akan membuka potensi penuh 5G, memacu inovasi, mengubah industri dan membentuk Malaysia yang lebih terhubung,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama antara agensi kerajaan, pemain industri serta pihak berkepentingan adalah sangat diperlukan dalam membentuk kemampanan dan keupayaan untuk beradaptasi.

Sehingga 31 Mei lalu, capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara mencecah 81.7 peratus dan melibatkan sebanyak 14.1 juta langganan 5G. – MalaysiaMADANI