Berita

RM100 juta diperuntuk KPKM perkasa industri makanan, asas tani

SEBANYAK RM100 juta diperuntukkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam usaha memperkasakan industri makanan dan asas tani.

Timbalannya, Datuk Joseph Arthur Kurup berkata, peruntukan berkenaan merangkumi pemberian insentif seperti geran pemadanan bagi penambahbaikan premis dan pembelian peralatan, pembangunan produk dan penjenamaan, galakkan pemasaran, pembangunan modal insan dan geran agropelancongan serta pusat pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran (3P).

“Industri asas tani merupakan industri hiliran dalam rantaian pengeluaran makanan dan merupakan salah satu sektor yang sedang berkembang pesat melibatkan pemprosesan produk hasil pertanian.

“Ia juga sangat penting dalam rantaian pengeluaran makanan bagi memastikan sumber bahan mentah di peringkat ladang diberi nilai tambah agar dapat menjana pendapatan usahawan,” katanya.

Katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Industri Asas Tani Kebangsaan Tahun 2024 anjuran Jabatan Pertanian.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Johari Abdullah dan pegawai-pegawai kanan Jabatan dan Agensi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Datuk Badrul Hisham Mohd.

Katanya, keselamatan makanan dan pematuhan kepada standard sedia ada seperti HALAL, GMP dan HACCP perlu diberi perhatian.

Katanya ia penting bagi meningkatkan hasil pengeluaran makanan melalui kaedah pemprosesan makanan menggunakan teknologi terkini dan sekaligus mampu membawa produk masing-masing untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Justeru beliau mengesa usahawan untuk mempelbagaikan produk makanan berasaskan bahan mentah hasil pertanian tempatan dan menghasilkan inovasi baharu dalam pengeluaran produk sekaligus dapat mengurangkan import bahan makanan.

Nor Sam pada masa sama berkata, pihaknya telah menyalurkan RM7.5 juta kepada Jabatan Pertanian untuk melaksanakan Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani yang telah berjaya memberi manfaat kepada 5,126 usahawan dan pemain industri agropelancongan di seluruh negara. – MalaysiaMADANI