Berita

Politeknik dan Kolej Komuniti berperanan bentuk bakat seiring ekonomi digital

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, berkata Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) perlu terus mempergiat usaha dalam memperkasakan keupayaan bidang TVET tempatan. 

Katanya, Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) juga seharusnya diangkat sebagai pembangun bakat utama dan memainkan peranan penting dalam memacu negara menghadapi cabaran serta lanskap baharu ekonomi global.

Tambah beliau, PolyCC memainkan peranan dalam membangunkan bakat-bakat tempatan, memberikan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya dalam era ekonomi digital yang semakin mendominasi.

Dalam kunjungan rasmi ke ibu pejabat JPPKK di Putrajaya, Dr. Zambry Abd Kadir turut menekankan bahawa dunia kini sedang mengalami peralihan ke arah ekonomi berteraskan digital serta tenaga baharu. 

Tambahnya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu turut serta menyumbang kepakaran kepada agenda nasional yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri.

Terdahulu, Dr. Zambry Abd Kadir melawat pameran yang memaparkan hasil inovasi dan kreativiti para pelajar serta tenaga pengajar dari politeknik dan kolej komuniti. 

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md. Amir.