Berita

Kerajaan letak kepentingan jalin hubungan sektor swasta, institusi negara luar

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah berkata kerajaan sentiasa menitikberatkan kepentingan menjalinkan hubungan dengan sektor swasta dan institusi-institusi negara luar tanpa mengorbankan integriti dan amanah yang dipegang. 

Amir Hamzah berkata, perlunya meningkatkan ketelusan dan tatakelola dan langkah ini dianggap penting untuk mempertahankan keyakinan pelabur serta mengembangkan aliran modal dari luar negara, yang akan memberikan dorongan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau turut menyoroti peranan penting Bahagian Antarabangsa Kementerian Kewangan (MOF) sebagai titik perhubungan Malaysia dengan institusi kewangan global.

Katanya, kerajaan sentiasa memperkukuhkan hubungan dengan sektor swasta dan institusi kewangan luar negara, dengan pelbagai cadangan bagi projek bersifat mesra rakyat yang mampu menjana hasil positif kepada ekonomi negara. 

Terdahulu, pada taklimat dengan Bahagian Pelaburan Strategik, beliau berkata aspirasi Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, Bahagian Pelaburan Strategik, berperanan mengurus pembiayaan dan pelaburan projek-projek pembangunan untuk kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat.

Ujarnya, tinjauan dan taklimat ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam merangka strategi ekonomi yang tidak hanya memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara tetapi juga memastikan kesejahteraan rakyat.