Demi keselesaan pelajar, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh kapasiti infrastruktur pendidikan di Negeri Johor menerusi penyediaan bilik darjah menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).
KPM berkata, selain membina bilik darjah menggunakan IBS, pihak kementerian turut melakukan kerja-kerja ubah suai dan naik taraf bilik darjah (USNT) bagi kesiapsiagaan penempatan murid Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2027.
“Sebanyak 522 bilik darjah telah disiapkan melibatkan 11 daerah pendidikan, terdiri daripada 111 bilik darjah IBS dan 411 bilik darjah USNT.
“Penyediaan ini berpotensi menampung sehingga 15,660 orang murid,” kata KPM menerusi laman media sosialnya.
Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPM untuk memastikan kemudahan pendidikan mencukupi, selamat dan kondusif.
Selain itu katanya, ia juga menyokong kelancaran pengoperasian sekolah serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang berkualiti menjelang sesi persekolahan 2027. -MalaysiaMADANI
