Berita

SPRM syor perkukuh tatakelola proses kelulusan perolehan di MHTC

Bahagian Penyiasatan Tatakelola Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membentangkan lima syor penambahbaikan berkaitan pelaksanaan proses kelulusan perolehan di Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC).

SPRM berkata, antara cadangan itu adalah menambahbaik polisi dan prosedur perolehan yang mengandungi carta alir yang menunjukkan had masa proses serta menambahbaik proses kerja yang lebih efisyen menggunakan kod petender.

“Cadangan lain termasuk menambahbaik beberapa klausa di dalam Limit of Authority (LOA) MHTC berhubung kuasa penuh Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) dan melaksanakan Analisis Risiko iaitu salah satu prinsip penting bagi memenuhi syarat prinsip Tatacara Mencukupi di bawah Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009.” kata SPRM dalam satu kenyataan.

Kata SPRM, penyiasatan tatakelola itu dilaksanakan berdasarkan kepada pembukaan Sampul Kecil Penyiasatan Tatakelola (SKPT) pada tahun lalu yang menemui kelemahan dalam beberapa perkara berkaitan proses kelulusan perolehan di MHTC.

Menurutnya, kesemua syor itu telah disampaikan oleh Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola BPT SPRM, Zulhairy Zaidel kepada Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Suriaghandi Suppiah dalam sesi pembentangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat MHTC.

Sementara itu, SPRM menyatakan bahawa Suriaghandi menyambut baik cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh suruhanjaya itu dan menyatakan komitmen untuk melaksanakan tindakan sewajarnya bagi mengatasi kelemahan yang dikenal pasti.

Tambahnya lagi, komitmen tersebut turut dizahirkan melalui Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola di antara SPRM dan MHTC yang ditandatangani oleh Timbalan Pengarah III BPT SPRM, Norazlina Abd Rahim dan Suriaghandi.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan tahap ketelusan pengurusan sistem perolehan yang melibatkan dana awam di negara ini,” kata kenyataan SPRM. -MalaysiaMADANI