Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan menggerakkan semula usaha ke arah menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional (SKRN), kata Menteri Perpaduan Negara.
Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan memaklumkan, cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional yang baharu itu akan memberi penekanan kepada pendekatan pencegahan dan pendamaian.
“Pendekatan RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional tidak hanya bersifat menghukum semata-mata, sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha pencegahan awal, mediasi serta penyelesaian secara harmoni dan konstruktif,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru pihaknya telah memulakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak sejakawal bulan ini dan akan diteruskan secara inklusif dengan pelbagai pihak lain lagi.
“Kementerian akan meneliti agar suruhanjaya ini berupaya menjalankan siasatan terhadap isu yang menjejaskan keharmonian, memanggil pihak berkaitan untuk memberi keterangan serta mengeluarkan syor tindakan dan langkah pencegahan kepada kerajaan dan agensi berkaitan.
“Selain itu, suruhanjaya ini juga dijangka berperanan mengendalikan proses mediasi secara rasmi dan menerbitkan laporan awam tertakluk kepada had tertentu demi kepentingan keselamatan negara,” katanya.
Aaron pada masa sama memaklumkan, pihaknya menyambut baik cadangan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berhubung penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional.
Penubuhan itu katanya sebagai sebuah badan berkanun bebas bagi melindungi serta memperkukuh keharmonian antara atnik dan agama di negara ini. – MalaysiaMADANI
