Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Negeri dan Daerah terus memperkukuhkan kesiapsiagaan dalam menghadapi banjir di Sabah.
Beliau berkesempatan turun pada dan mendengar sendiri keperluan dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lancar.
“Semalam saya berkesempatan melawat ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Putatan termasuk PPS SMK Petagas, PPS Dewan PPR Taman Sri Keramat, PPS Seringai dan PPS Meruntum.
“Setakat ini, tujuh daerah di Sabah terjejas dan semua agensi termasuk NADMA, JPB Negeri serta Daerah terus memperkukuh kesiapsiagaan,” katanya.
Buat masa ini, pihaknya sedang meneliti senarai rumah yang rosak dan musnah untuk pembaikan atau pembinaan semula.
Inisiatif berkenaan tegas beliau akan dilaksanakan dengan bantuan teknikal MARA dan GiatMARA seperti kerja-kerja pendawaian.
“Insya-Allah, hari ini saya akan meneruskan tinjauan ke daerah Kimanis, Beaufort dan Papar untuk melawat beberapa lagi PPS serta meninjau kawasan tanah runtuh di sana,” katanya.
Setakat 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir di Sabah terus menunjukkan peningkatan dengan seramai 3,193 penduduk daripada 916 keluarga kini ditempatkan di 128 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh daerah.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (PKOB) memaklumkan, daerah Sipitang mencatat pertambahan mangsa apabila tiga PPS baharu dibuka semalam dan menempatkan 285 orang daripada 103 keluarga. – MalaysiaMADANI