Malaysia dan Azerbaijan masing-masing menyatakan tekad tinggi untuk memperkukuh dan mengeratkan hubungan baik yang telah terjalin sejak 32 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan kerjasama erat dibina sejak 1993, Malaysia melihat Azerbaijan sebagai rakan strategik yang mempunyai potensi sangat besar.
Beliau berkata, Azerbaijan mempunyai kelebihan dalam bidang tenaga, pelancongan, industri halal serta boleh bekerjasama dengan Malaysia dalam sektor pembinaan dan mineral.
“Ini landasan yang akan kita mantapkan demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” kata Perdana Menteri menerusi laman media sosialnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau secara peribadi menyanjung peranan Azerbaijan dalam mengangkat agenda keamanan serantau, termasuk melalui Washington Framework for Peace, baru-baru ini.
Menurut beliau, kepimpinan Azerbaijan di pentas antarabangsa, khususnya dalam rangkaian Parlimen Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) jelas terbukti memperlihatkan sifat diplomasi tinggi negara tersebut.
Jelas beliau, bukan sahaja berjaya menonjolkan betapa diplomasi tidak hanya jalur untuk meleraikan konflik, tetapi menjadi tonggak untuk menegak keadilan dan kemanusiaan.
“Justeru itu, kerajaan akan terus menjadi jambatan Timur dan Barat melalui pendekatan serta seni diplomasi kenegaraan.
“Dalam dunia yang terus berantakan hari ini, Malaysia memilih untuk menjadi suara dan kuasa penengah (mid-tier power) di pentas geopolitik ke arah dunia yang lebih aman dan seimbang,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI