Masyarakat Melayu diseru mengambil semangat pendekar yang berdisiplin, bersemangat dan mempunyai kekuatan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akhlak mulia dan disiplin tinggi pendekar Melayu diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, dapat dipamerkan melalui ketokohan pahlawan Melayu seperti Laksamana Hang Tuah.
“Bangsa Melayu tidak akan gagal, tidak akan merempat, tidak akan terus dihina kalau ada semangat bersatu, disiplin, kekuatan menguasai ilmu dan kebanggaan terhadap budaya sendiri.
“Kehebatan silat bukan untuk bermegah, tetapi untuk membentuk akhlak serta melatih anak bangsa agar kental semangatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Pendekar MADANI, yang berlangsung di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang, semalam.
Pada program itu juga, Anwar mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk tujuan menggerakkan kegiatan Pendekar Madani bagi semua badan pertubuhan silat di negara ini
Katanya usaha berkenaan membolehkan institusi melahirkan lebih ramai pesilat dalam kalangan belia sekali gus mengangkat martabat dan darjat bangsa.
Beliau yakin Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dapat membantu menggerakkan kegiatan itu ke sekolah-sekolah sebelum ia digerakkan ke IPT dan IPG sebagai satu kegiatan menyatukan semangat anak muda.
Pada majlis sama beliau diberi penghormatan menerusi pertabalan sebagai Imam Khalifah Agong “Sri Tri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti .
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pengiktirafan itu adalah amanah yang melambangkan keluhuran warisan silat serta kesinambungan perjuangan bangsa yang tidak pernah putus sejak turun-temurun. – MalaysiaMADANI