Berita

Kota Madani: Konsep bandar berteknologi hijau dan warisan budaya


Semua perancangan mengenai pembangunan pembinaan Kota Madani diharap dapat berjalan lancar dan dilaksanakan sebaik-baik demi manfaat bersama, kata Perdana Menteri.

Datuk seri Anwar Ibrahim berkata, konsep Kota MADANI menekankan kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat.

“Ketika pembentangan konsep itu saya dimaklumkan antara kemudahan yang dirancang termasuk sekolah menegak, institusi TVET, institusi kewangan.

Turut dirancang adalah klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan sebuah masjid, semuanya akan dibangunkan berdekatan kawasan perumahan,” katanya.

Malah,  fasa pertama melibatkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak, dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027.

“Reka bentuk masjid dan sekolah akan menampilkan unsur budaya tempatan, sejajar dengan usaha mengekalkan seni bina dan warisan,” katanya.

Atas dasar itu beliau berharap semua perancangan berkenaan  dapat dilaksanakan dengan sempurna dengan manfaat banyak pihak.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan memaklumkan, Kota Madani yang dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan, infrastruktur digital cekap serta sistem mobiliti hijau dan bakal dibangunkan di Putrajaya.

“Pembangunan ini merupakan pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka masa depan Putrajaya sebagai sebuah bandar contoh, yang mendukung nilai-nilai Madani dan selari dengan visi Bandar Chase.

“Dengan keluasan 102 ekar, Kota Madani bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman untuk lebih 30,000 penduduk dan dibina secara vertikal berintensiti tinggi,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaMADANI