Konsep sekolah menegak yang diintegrasi bersama perumahan di bawah pembangunan Rumah MADANI di Pulau Pinang diyakini menjamin keselamatan pelajar ke sekolah selain mengurangkan tanggungan kos pengangkutan keluarga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip berkenaan merupakan fokus kerajaan kepada usaha untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat dengan pembentukan kawasan kejiranan yang bersifat ihsan.
“Elemen sekolah menegak yang bakal dimajukan ini apabila diintegrasikan dengan pemajuan perumahan merupakan ikhtiar dalam memastikan keselamatan pelajar untuk ke sekolah dan kos tanggungan keluarga.
“Ia bukan sekadar kemegahan binaan dan reka bentuk,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri pembentangan konsep projek berkenaan bersama wakil pemaju di Putrajaya.
Beliau pada masa menegaskan kerajaan MADANI sentiasa menekankan kecepatan kelulusan dengan kerjasama merentas Kementerian dan Agensi serta dengan penglibatan beberapa pihak lain termasuk kerajaan negeri.
Pada pembentangan berkenaan Anwar berkata beliau dimaklumkan pembangunan itu turut dilengkapi dengan kemudahan asas dan fasiliti yang lengkap termasuk pembangunan sekolah dan taska, surau, ruang perniagaan serta kawasan lanskap dan taman.
Pembangunan Rumah Bakat MADANI di Pulau Pinang merupakan satu inisiatif dengan penglibatan daripada pemaju swasta Skyworld bagi membolehkan rakyat pendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman mampu milik. – MalaysiaMADANI
Sekolah menegak dan perumahan ikhtiar kerajaan kurangkan kos pengangkutan

12
Jun