Berita

ASEAN: KDN beri tumpuan aspek jenayah rentas sempadan dan jenayah siber

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tumpuan dalam aspek jenayah rentas sempadan dan jenayah siber sepanjang berlangsung Kepengerusian ASEAN 2025.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara isu utama yang diberi perhatian adalah jenayah rentas sempadan melibatkan perkongsian maklumat risikan, peningkatan kapasiti dan operasi bersama.

“KDN akan terlibat dalam kluster keselamatan merangkumi 10 agenda utama yang akan menjadi panduan dalam semua mesyuarat di peringkat pegawai, pegawai kanan dan kementerian.

KDN juga memfokuskan kepada jenayah siber khususnya penipuan atas talian yang semakin meningkat di Malaysia dan peringkat global.

“Kalau bercakap tentang jenayah rentas sempadan, kita akui hakikat, kita sendiri atau mana-mana individu negara ASEAN tidak akan mampu selesaikan bersendirian. Kita kena ada jalinan kerjasama (serantau),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan negara terkawal dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik.

Katanya lagi, jenayah siber, termasuk penipuan dalam talian menunjukkan trend peningkatan yang mendadak bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global.

“Kerana itu mesyuarat ASEAN dalam kluster keselamatan ini tidak akan jadi lengkap kalau tajuk ini tidak ikut diteliti oleh negara anggota ASEAN,” katanya. – MalaysiaMADANI