BAGI memudahkan pengunjung ke Program 2 Tahun MADANI yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur kekerapan tren dan laluan bas Rapid KL terpilih akan ditambah bermula Jumaat, 22 November 2024.
Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan memaklumkan, tindakan berkenaan dibuat sebagai komitmen pihaknya dalam menyokong usaha kerajaan menyampaikan maklumat berkaitan hala tuju secara terus kepada rakyat.
“Program 2TM yang akan membuka tirai esok boleh diakses menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid KL, menerusi Stesen LRT KLCC (Laluan Kelana Jaya), Stesen MRT Persiaran KLCC (Laluan Putrajaya) dan Stesen Raja Chulan (Monorel Kuala Lumpur).
“Kekerapan tren bagi LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Putrajaya akan ditingkatkan kepada setiap tiga dan lima minit bermula10 pagi hingga 3 petang pada Sabtu.
“Langkah ini dapat memberi lebih kapasiti dan keselesaan kepada pengunjung untuk hadir,” katanya.
Prasarana menambah, bagi perkhidmatan bas, Rapid KL akan menambah bilangan bas bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan Laluan 300 (Pandan Indah-Lebuh Ampang); Laluan 303 (Taman Mulia Jaya-Lebuh Ampang) dan Laluan 402 (Titiwangsa-KLCC).
Bagaimanapun, pengunjung disaran menggunakan kemudahan Park N Ride di stesen-stesen rel terpilih dengan kad Touch ‘N Go yang sama bagi mendapatkan kadar rata bayaran parkir.
Pada masa sama Rapid KL juga akan menambah bilangan anggota Polis Bantuan dan pegawai operasi di stesen-stesen rel terpilih dan hab bas KLCC.
Keputusan berkenaan katanya bagi memberi khidmat layanan terbaik selain menjaga keselamatan penumpang. – MalaysiaMADANI