Berita

Dasar pinjaman perumahan diteliti semula

MESYUARAT Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bersetuju meneliti semula dasar pinjaman perumahan bagi memastikan pinjaman jangka masa panjang lebih berpatutan tanpa membebankan isi rumah yang kurang berkemampuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar itu akan diteliti bersama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Keputusan berkenaan dicapai selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan bagi membincangkan berkenaan peningkatan nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasan (KDNK) daripada 67.2 peratus pada tahun 2002 kepada 81.2 peratus pada 2022, yang didorong oleh kredit perumahan.

“Kenaikan mendadak dalam sektor hartanah kediaman ini memberi kesan besar kepada pendapatan boleh guna rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40,” katanya .

Beliau pada masa sama turut membincangkan pelaksanaan ciri pembayaran bersama (co-payment) dalam produk Insurans dan Takaful Perubatan serta Kesihatan (MHIT) yang mampu menawarkan pilihan yang lebih murah dan fleksibel kepada pengguna. 

“Langkah ini diharap dapat mewujudkan ekosistem kesihatan yang lebih mampan dan kondusif,” katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada masa sama turut membentangkan status Indikator Kos Sara Hidup 2023 yang dijangka dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 November ini.

“Indikator itu diharapkan dapat membantu dalam penggubalan dasar berkaitan kos sara hidup serta pelaksanaan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Semoga segala yang dibincangkan hari ini akan memberi manfaat yang besar dalam menangani isu kos sara hidup seterusnya memperkukuhkan ekonomi rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Insya-Allah,” katanya. – Malaysia MADANI