Berita

Fasiliti pemulihan dadah lebih RM8 juta dibina di Tawau

PERUNTUKAN sebanyak RM8.5 juta disalurkan kepada Kementerian Dalam Negeri bagi tujuan membina sebuah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) baharu di Tawau Sabah.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmy Yahya berkata, peruntukan berkenaan diberikan bagi menyediakan satu lagi kemudahan tambahan untuk merawat pulih golongan penagih dadah di Pantai Timur Sabah.

“PUSPEN baharu bakal dibina atas tapak berkeluasan 12 hektar di Batu 36, Tawau, Sabah.

“Kerja-kerja awalan pembinaan PUSPEN dan Pusat Tahanan Reman (PTR) telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menerusi Rolling Plan Ke-4 (RP4) 2024 dengan kos siling keseluruhan sebanyak RM8.5 juta,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pemulihan penagihan Narkotik (PUSPEN) Tawau.

Ucapan berkenaan dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman.

Bagi pembinaan awalan itu, JKR Sabah dilantik sebagai agensi pelaksana projek dan tapak projek pembinaan PUSPEN Tawau bagi mendapat pewartaan Kerajaan Negeri Sabah.

Katanya, kemudahan itu bukan sahaja dinikmati oleh warga kerja AADK, sebaliknya adalah untuk penduduk-penduduk di sekitar Pantai Timur Sabah amnya.

“Ini kerana, dalam model rawatan dan pemulihan yang dijalankan AADK menerusi Model i-Pulih AADK turut mengadaptasikan modul sokongan sosial khususnya daripada sistem kumpulan sokongan terdekat seperti ibu bapa, suami atau isteri, ahli keluarga sebagai penyumbang kepada pengekalan kepulihan sepanjang hayat,” katanya.

Beliau pada masa sama yakin fasiliti berkenaan akan memberi kemudahan terutama bagi mendapatkan akses rawatan dan pemulihan selain dapat menzahirkan sokongan khususnya ketika sesi lawatan keluarga yang menjadi terapi terapeutik kepada klien-klien AADK. – MalaysiaMADANI