Berita

“Ikut jejak UKM buka kampus di luar negara” 

PEMBUKAAN Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha meletakkan status pengajian tinggi negara di pentas dunia, kata Perdana Menteri. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata UKM telah mengorak langkah yang unik dengan pembukaan kampus baharu di Doha. 

Ia telah meletakkan status pengajian tinggi kita di pentas dunia apatah lagi UKM bermula sebagai sebuah institusi pengajian awam Malaysia yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. 

Saya ingin memanjatkan rasa syukur kerana telah diberi kesempatan dan ruang ketimbang keberadaan saya di Doha untuk bersama-sama kepimpinan dan warga UKM untuk menyaksikan saat-saat yang unik dan bersejarah ini.,” katanya. 

Beliau pada masa sama menaruh harapan tinggi agar usaha yang dirintis oleh UKM diharap akan membuka laluan yang lebih luas dan besar kepada universiti awam Malaysia yang lain untuk mengorak langkah serupa selepas ini. 

“Sebagai salah seorang yang menandatangani memorandum mendesak penubuhan sebuah universiti awam yang berteraskan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, saya berasa bangga untuk bersama-sama warga UKM di hari yang gemilang ini,”ujarnya. 

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada kepada Naib Canselor UKM di atas kejayaan yang dicapai. 
 
“Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekwan Hj Toriman di atas kejayaan besar ini,” katanya. – MalaysiaMADANI