Berita

Program BikeCare-1000 ringan beban pekerja Gig di Selangor beli motosikal dengan mudah

Sebagai bukti keprihatinan Kerajaan kepada rakyat terutama golongan muda, Kerajaan negeri Selangor menawarkan bantuan bayaran pendahuluan pembelian motosikal menerusi Program BikeCare-1000 untuk pekerja terutama dalam bidang P-hailing di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asal dan Minoriti negeri, V Papparaidu berkata, bantuan yang terbaharu ini merupakan inisiatif Kerajaan Selangor bagi meringankan beban pekerja Gig atau P-hailing dalam bentuk pembayaran pendahuluan pembelian motosikal.

“Ia adalah usaha kerajaan negeri untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan dan sokongan dalam menyediakan keperluan kehidupan yang kini sedang mencabar.

“Bantuan ini juga diyakini mampu meringankan beban pekerja tempatan mengatasi cabaran kewangan, terutama dalam memperoleh pengangkutan peribadi yang diperlukan,” katanya.

Golongan muda yang berasal dari Selangor dan berminat dengan program Program BikeCare-1000, hanya perlu mematuhi syarat ditetapkan iaitu berusia 18 tahun ke atas, memiliki lesen motosikal yang sah serta tidak disenarai hitam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Banting itu berkata, borang bagi program khusus untuk warga Selangor itu boleh diperoleh di pejabat Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) di tingkat lima bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Shah Alam, Selangor.

Selain itu, semua permohonan perlu disertakan salinan kad pengenalan pemohon, salinan kad pengenalan penjamin (keluarga), salinan penyata bank, salinan lesen motosikal dan salinan slip gaji terkini.

“Borang permohonan yang sudah lengkap perlu diserahkan ke pejabat UPPS di bangunan pentadbiran kerajaan negeri sebelum 1 Mac.

Borang juga boleh diperoleh secara dalam talian menerusi pautan https://drive.google.com/file/d/1ZvyjM4m_fSDQwNbMoZ5GTpWs5jqFeWhR/view?u,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh menghubungi terus di talian 03-5545 2216, 03-5544 7307 atau 03-5544 7305. – Malaysia MADANI