Berita

Pendapatan Progresif Fokus Persidangan Meja Bulat Majlis Penasihat Industri Politeknik 2023

Sepang, 29 November 2023 – Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mempengerusikan Majlis Persidangan Meja Bulat bersama Majlis Penasihat Industri Politeknik (PIAC) 2023 di sini. Persidangan tahunan ini menghimpunkan 20 orang Ketua Industri dalam sesi dialog untuk memberi input dan cadangan kepada Politeknik seiring dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

Bertemakan ‘Memperkasa Pembangunan Bakat TVET Masa Hadapan Ke Arah Pekerjaan Bermakna dan Pendapatan Progresif,’ Menteri dan peserta PIAC 2023 menekankan pelbagai strategi berteraskan ekosistem TVET demi merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI.

Menteri, dalam amanatnya, menyatakan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelang tahun 2030, dengan mensasarkan 95% graduan politeknik mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Beliau turut menitikberatkan agar 20% daripada mereka mampu meraih pendapatan premium sejajar dengan kelayakan akademik masing-masing.

Sumber : Facebook Kementerian Tinggi

Persidangan turut dihadiri oleh 12 ketua industri utama dari 36 Politeknik di Malaysia, merangkumi pelbagai bidang seperti Kejuruteraan Awam dan Seni Bina, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrikal, Kejuruteraan Petrokimia, Pelancongan dan Hospitaliti, Pengurusan dan Perdagangan, Teknologi Maklumat, Keusahawanan, Pengajian Perkhidmatan, Agroteknologi dan Bio-Industri, serta badan-badan akreditasi.

Dalam majlis yang sama, Menteri menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan 18 syarikat. Turut dilancarkan Coffee Table Book bertajuk “Industri @ POLYCC,” sebuah kompilasi kolaborasi JPPKK dan industri sejak tahun 2020 hingga kini.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Dasar KPT, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; TKSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr. Mohd. Zabri Yusoff; Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; dan Pengerusi Majlis Penasihat Industri Politeknik, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Sufri Hj. Mohd Zin.

Dengan fokus pada pendapatan progresif dan penekanan terhadap pembangunan bakat TVET, Persidangan Meja Bulat ini memberikan landasan penting bagi pertumbuhan ekonomi melalui penyediaan tenaga kerja berkualiti dan berdaya saing.