Berita

KKM komited usaha tangani impak perubahan iklim, jejak karbon

Pada persidangan COP28 Climate-Health Ministerial, Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan Malaysia, telah menyampaikan kenyataan negara yang menekankan komitmen dan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani impak kesihatan yang timbul akibat perubahan iklim.

Dalam ucapan yang disampaikan, Dr Zaliha berkongsi tentang komitmen yang kuat dari KKM dalam melaksanakan aktiviti adaptasi dan mitigasi perubahan iklim. KKM berazam untuk membina sistem kesihatan yang resilien terhadap cabaran perubahan iklim dan pada masa yang sama mengurangkan kesan karbon daripada operasi kesihatan negara.

“KKM terus komited dalam membangunkan sistem kesihatan yang mampu menangani impak perubahan iklim. Ini melibatkan usaha adaptasi dan mitigasi yang bersifat inklusif dan mampan,” kata Dr Zaliha.

Beliau menekankan bahawa operasi fasiliti penjagaan kesihatan adalah faktor penting dalam penentuan jejak karbon, merangkumi aspek seperti penggunaan tenaga, pengurusan sisa, dan penggunaan sumber. Dr Zaliha menjelaskan bahawa, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan kesiapsiagaan terhadap perubahan iklim, KKM sedang aktif mengambil langkah untuk mengurangkan impak negatif ini.

“Sesuai dengan hasrat dan komitmen Kerajaan Malaysia untuk mencapai negara neutraliti karbon menjelang 2050, KKM akan terus bekerja keras untuk mengurangkan pelepasan karbon dari sektor kesihatan. Ini melibatkan pengoptimuman penggunaan sumber tenaga yang lebih efisien, pengurusan sisa yang mampan, dan langkah-langkah inovatif lain yang akan mengurangkan kesan karbon kami,” tambahnya.

Dr Zaliha menegaskan bahawa melalui langkah-langkah ini, KKM ingin menyumbang kepada usaha global dalam mengatasi cabaran perubahan iklim dan pada masa yang sama, memastikan kesihatan masyarakat Malaysia terjamin dan bersedia menghadapi cabaran-cabaran yang mungkin timbul.