Festival Pelancongan Islam Homestay Antarabangsa 2023 telah menjadi mercu tanda baharu dalam usaha mempromosikan konsep pelancongan dan hospitaliti yang mesra dengan nilai-nilai masyarakat. Berlangsung dari 16 hingga 19 Disember, festival ini telah memikat perhatian 15 negara, termasuk jiran sebelah, Indonesia, Pakistan, dan India.
YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, pada majlis perasmian festival ini pada 16 Disember lalu di Kuala Lumpur berkata, beliau berharap agar festival ini dapat memberikan kesedaran kepada pelancong mengenai keindahan seni dan budaya masyarakat setempat.
Tambahnya, festival ini merupakan satu program yang memberikan kesedaran terhadap pelancong-pelancong di luar sana berkenaan keindahan seni dan budaya masyarakat kita. Ianya dipelopori oleh ITC (Islamic Tourism Centre) dan kita dapat lihat banyak perkembangan yang amat positif dalam kalangan penggiat industri, bukan setakat negara kita, tapi di luar sana juga.
Bagi merancakkan lagi konsep pelancongan dan hospitaliti yang mesra dengan rakyat, ITC telah memperkenalkan Pakej Platinum: Pakej Mesra Muslim. Pakej ini bertujuan menarik kedatangan pelancong Muslim dari Asia Barat, China, dan seluruh dunia. Ke arah ini, pelancongan mesra Muslim telah menjadi satu industri yang memperoleh pertumbuhan positif dalam kalangan pelancong Muslim global.
Malaysia, sebagai hub pelancongan Mesra Muslim, telah dianugerahkan sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik Dunia dan Destinasi Mesra Wanita Muslim Terbaik Dunia. Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan negara dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang memenuhi keperluan dan nilai-nilai pelancong Muslim.
Festival Pelancongan Islam Homestay Antarabangsa bukan hanya menjadi acara pelancongan, tetapi juga satu platform untuk memahami dan menghargai keanekaragaman budaya, sesuai dengan konsep pelancongan yang bersifat inklusif. Dengan adanya festival ini, diharapkan akan terus mendorong pertumbuhan pelancongan yang berkesan dan memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.