Berita

Vendor disaran sertai Program Inisiatif Sukan Rahmah

Klang: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggalakkan mana-mana vendor mengikut jejak langkah AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) memperkenalkan Program Inisiatif Sukan Rahmah.

Jelasnya, ia bagi mengembangkan lagi program berkenaan yang selama ini lebih tertumpu kepada menu mampu milik diperkenalkan oleh bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Saya percaya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan sentiasa berhubung dengan beberapa lagi vendor. Inisiatif Rahmah ini memang dibuka untuk semua yang menyahut seruan kerajaan.

“Seperti apa yang sering Allahyahram Salahuddin katakan beliau mahu melihat inisiatif ini sebagai satu nilai hidup rakyat Malaysia yang sentiasa mengingati orang tak berkemampuan.

“Dalam sukan juga kita menggalakkan semua pihak untuk tampil membantu terutamanya kanak-kanak. Setakat ini yang pertama tampil ke hadapan adalah AEON BiG.

“Saya percaya selepas ini ada pihak lain yang mungkin mahu bersama program ini mengikut kemampuan mereka,” katanya pada sidang media hari ini selepas merasmikan Program Inisiatif Sukan Rahmah.

Antara objektif Program Inisiatif Sukan Rahmah itu adalah membuka lebih banyak akses kepada golongan kurang berkemampuan untuk memiliki peralatan sukan sekali gus membantu mereka mengembangkan bakat sukan masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi.

Menerusi program itu, AEON BiG menyediakan lebih 100 jenis peralatan dan pakaian sukan dengan pembeli boleh menikmati diskaun antara 10 hingga 30 peratus.

Promosi berkenaan akan berlangsung dari 1 Ogos hingga 14 Oktober 2023 sekali gus bertepatan dengan sambutan Hari Sukan Negara yang akan berlangsung pada 14 Oktober depan.

“Kami amat berbesar hati atas kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dalam meneruskan inisiatif Rahmah melalui amalan sukan dan gaya hidup sihat.

“Kami sentiasa menyokong hasrat Kerajaan dalam misi membantu golongan yang memerlukan,” kata Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.