Pelan Strategik Majlis Perubatan Malaysia (MPM) 2026–2030 merupakan hala tuju utama bagi memodenkan sistem pengawalseliaan profesion perubatan di Malaysia.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, pelan itu selaras dengan Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2024), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) serta kerangka Ekonomi MADANI.
Katanya, berdasarkan analisis semasa dalam pelan tersebut, terdapat peningkatan sebanyak 66 peratus dalam populasi pengamal perubatan berdaftar antara tahun 2017 hingga 2024.
“Pada masa yang sama, pelaksanaan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 telah mendorong keperluan untuk memperkukuh dan menyelaraskan kerangka regulatori, khususnya berkaitan pendaftaran pakar serta laluan latihan kepakaran, termasuk Laluan Latihan Pakar Selari,” kata KKM menerusi laman media sosialnya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melancarkan buku Pelan Strategik Majlis Perubatan Malaysia (MPM) 2026–2030 di Kuala Lumpur.
KKM berkata, antara keutamaan strategik yang digariskan bagi tempoh 2026 hingga 2030 termasuk transformasi digital melalui pembangunan platform MeRITS 2.0 bagi meningkatkan automasi proses regulatori, termasuk pengesahan Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dan perlindungan indemniti profesional.
Jelasnya, inisiatif itu turut menetapkan sasaran untuk memendekkan tempoh pemprosesan Sijil Perakuan Amalan Tahunan (APC) kepada tempoh tidak melebihi tujuh hari.
Daripada aspek integriti berkanun, katanya, MPM akan memperkemas laluan pengiktirafan dan pendaftaran pakar, menyeragamkan audit akreditasi serta memperkukuh panduan etika bagi perkembangan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan teleperubatan.
“MPM turut menyasarkan pensijilan ISO 9001:2015, selain berusaha mendapatkan pemilikan premis dan aset tetap untuk kelestarian institusi serta akan terus berkembang sebagai sebuah badan pengawal selia perubatan yang moden, cekap, telus dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, dengan perlindungan kepentingan awam dan keselamatan pesakit kekal sebagai keutamaan utama,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
