Berita

RM600,000 tingkat projek pembangunan, tambah baik kemudahan di Kampung Sungai Tiram

Kementerian Dalam Negeri menerusi Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terus memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan masyarakat melalui penganjuran Program MADANI Kita (PMK) dan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI (KAM) serta Sekolah Angkat MADANI (SAM) RELA 2026.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, program yang berlangsung di Kampung Sungai Tiram, Lekir, Perak itu disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. 

Hadir sama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah RELA, Datuk Rosli Yaakub.

“Menerusi pelaksanaan inisiatif KAM dan SAM, sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi melaksanakan projek pembangunan dan penambahbaikan kemudahan setempat, merangkumi RM500,000 bagi KAM dan RM100,000 bagi SAM. 

“Peruntukan ini memberi tumpuan kepada usaha membaik pulih serta menaik taraf kemudahan surau dan masjid di kawasan kampung, selain mempertingkat prasarana sekolah dan sekolah agama bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk kegunaan masyarakat serta warga pendidikan,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.

KDN berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar melibatkan penambahbaikan infrastruktur, malah menjadi usaha berterusan untuk menyokong kesejahteraan komuniti melalui penyediaan kemudahan yang dapat dimanfaatkan bersama. 

Tambahnya, penambahbaikan rumah ibadah turut menyokong aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan, manakala kemudahan pendidikan yang lebih baik membantu menyediakan ruang pembelajaran yang lebih selesa kepada generasi muda.

“Selain penyerahan inisiatif KAM dan SAM, Program MADANI Kita (PMK) turut menghimpunkan masyarakat menerusi pelbagai pengisian termasuk pameran dan perkhidmatan agensi kerajaan, sukan rakyat, jualan serta aktiviti komuniti. 

“Program turut diserikan dengan aktiviti penanaman pokok bakau di Kampung Sungai Tiram dan Ziarah Kasih RELA sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni masyarakat serta memupuk keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar,” ujarnya lagi. -MalaysiaMADANI