Berita

Malaysia kekal perkukuh hubungan strategik ASEAN-China

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN-China, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan strategik ASEAN-China.

Beliau berkata, ASEAN-China pada tahun ini memasuki ulang tahun ke-35 hubungan dialog dan ulang tahun ke-5 Perkongsian Strategik Komprehensif.

“Saya menyambut baik kemajuan kemajuan pelaksanaan ACFTA 3.0 yang membuka lebih peluang perdagangan dan pelaburan khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata, kerjasama itu juga perlu diperluas dalam bidang ekonomi digital, bidang kecerdasan buatan (AI), pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran serta peralihan tenaga bersih.

Tambah beliau lagi, Malaysia juga kekal komited terhadap rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) bagi menjamin keamanan dan kestabilan serantau. 

Selain itu, Perdana Menteri turut menegaskan pendirian Malaysia terhadap kekejaman yang berterusan ke atas rakyat Palestin, khususnya di Gaza serta keperluan untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan.  

“Malaysia juga menghargai sumbangan China dalam membantu usaha kemanusian dan pembinaan semula Gaza,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI