Berita

Tingkat peruntukan, laksana projek keperluan rakyat

Bertujuan memperkasa kontraktor Bumiputera G1 hingga G4, Kerajaan MADANI meningkatkan peruntukan kepada RM7.5 bilion berbanding RM4 bilion pada tahun ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada golongan tersebut untuk membina keupayaan, mengembangkan perniagaan dan melaksanakan projek yang diperlukan rakyat.

“Sewaktu sesi libat urus bersama wakil persatuan kontraktor Bumiputera, perbincangan tertumpu kepada usaha memastikan inisiatif Belanjawan 2027 dapat dimanfaatkan sebaiknya, khususnya oleh kontraktor kecil,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Beliau berkata, tatacara perolehan turut dipermudah, termasuk menaikkan had lantikan terus bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan fasiliti kerajaan sehingga RM200,000.

Selain itu kata Perdana Menteri, Kerajaan MADANI turut membantu daripada segi kemudahan pembiayaan serta langkah menangani kenaikan kos diesel dan bitumen.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu peluang itu dimanfaatkan untuk melahirkan lebih ramai kontraktor Bumiputera yang berdaya saing dan berintegriti. 

“Setiap projek adalah amanah kepada rakyat yang mesti dilaksanakan dengan mutu terbaik, mengikut jadual dan penuh tanggungjawab,” ujar beliau lagi. -MalaysiaMADANI