Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan beberapa peruntukan dan inisiatif khusus bagi memperkasa ekonomi, pendidikan serta kesejahteraan komuniti India di negara ini.
MOF berkata, antara inisiatif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan adalah peruntukan berjumlah RM150 juta bagi meningkatkan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Selain itu kata MOF, peruntukan sebanyak RM150 juta bagi pembiayaan keusahawanan komuniti India melalui TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
“Tambahan RM50 juta disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), selain pembinaan sekolah gantian baharu,” kata MOF menerusi laman media sosialnya.
Menurutnya lagi, sebanyak RM80 juta disediakan oleh Kerajaan MADANI bagi peruntukan yang diluluskan bagi rumah ibadat bukan Islam termasuk kuil.
Jelasnya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memperluas peluang ekonomi, memperkukuh akses pendidikan dan memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif serta saksama.
“Kemakmuran negara perlu dinikmati bersama, tanpa ada yang terpinggir,” kata MOF. -MalaysiaMADANI
