Kerajaan MADANI terus memperkasa kemudahan dan akses digital kepada masyarakat luar bandar di Sarawak menerusi Program Jelajah Digital Bersama Komuniti.
Bertempat di Rumah Dapong, Nanga Antawau, Baleh, Kapit, program yang dilaksanakan dengan kerjasama PETRONAS, TEGAS dan Petrosains telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Kementerian Digital berkata, usaha menganjurkan program terbabit bertujuan memperluas akses kepada ilmu dan peluang digital dalam kalangan masyarakat luar bandar.
“Menerusi perkongsian oleh MyDIGITAL Corporation dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), komuniti setempat didedahkan kepada aspirasi Malaysia sebagai Negara AI, keselamatan siber dan literasi digital,” kata Kementerian Digital menerusi laman media sosialnya.
Katanya lagi, pendedahan seumpama itu membantu masyarakat memahami perkembangan teknologi, mengenali peluang yang tersedia serta memperkukuh keupayaan menggunakan teknologi digital secara selamat dan bertanggungjawab.
Dalam pada itu menurutnya, program tersebut turut menyaksikan penyampaian Kit Bantuan Permulaan Persekolahan kepada 10 buah sekolah di Daerah Baleh oleh Wilson Ugak.
Tambahnya, sumbangan bantuan persekolahan yang disumbangkan oleh PETRONAS itu merupakan sokongan kepada keperluan persekolahan murid-murid di kawasan berkenaan.
Katanya, inisiatif mendekati komuniti seperti itu penting bagi memastikan akses kepada ilmu, teknologi dan peluang digital dapat diperluas kepada seluruh lapisan masyarakat termasuk di kawasan luar bandar.
“Seiring aspirasi Malaysia ke arah Negara AI 2030, usaha memperkasa masyarakat akan terus diperkukuh agar tiada masyarakat yang tercicir daripada arus pembangunan digital negara,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
