Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kemajuan industri pembinaan mesti dirasai rakyat terutama melalui penyediaan rumah mampu milik.
Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), kerajaan menyasarkan 500,000 rumah mampu milik menjelang 2030, sebagai sebahagian daripada sasaran sejuta rumah mampu milik menjelang 2035.
Pada masa sama, kata beliau, negara perlu mengimbangi pembangunan dengan pemeliharaan alam sekitar, mengutamakan mutu bahan binaan serta memastikan reka bentuk bangunan indah dan mencerminkan identiti setempat.
“Jika pertimbangan ini diketepikan, yang terbina akhirnya hanyalah hutan konkrit yang hanya menyumbang kepada lunturnya kedamaian alam dan mengorbankan kesejahteraan serta kemanusiaan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri turut mengalu-alukan usaha Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) meneroka teknologi cetakan konkrit 3D.
Jelas beliau, kerjasama dengan industri mesti membuka ruang pemindahan teknologi, perkongsian ilmu dan latihan kepada tenaga kerja serta kontraktor tempatan.
“Saya mahu mereka menguasai teknologi ini dan berupaya membangunkannya sendiri mengikut keperluan negara, Insya-Allah,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
