Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa berada dalam keadaan siap saga menghadapi kemungkinan kejadian banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula pada 27 Oktober lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac 2027.
KKM berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan sebanyak tiga hingga lima luruan monsun yang berpotensi membawa hujan lebat, khususnya di kawasan timur dan selatan Semenanjung Malaysia, timur Sabah serta barat dan selatan Sarawak.
Katanya, risiko banjir boleh meningkat sekiranya hujan berterusan berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar.
“Sehingga 9 November, banjir telah dilaporkan di dua negeri iaitu Selangor dan Perak, melibatkan seramai 987 mangsa daripada 283 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif,” kata KKM menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, KKM melalui Pusat Kesiapsagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kebangsaan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan fasiliti kesihatan di seluruh negara telah memperkukuh kesiapsagaan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat terus beroperasi, khususnya di kawasan berisiko banjir.
Katanya, CPRC Kebangsaaan telah berada pada tahap berjaga-jaga sejak 27 Oktober lalu dengan pemantauan situasi banjir, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan dan penyelarasan tindakan respons dilaksanakan secara berterusan bersama JKN serta agensi berkaitan.
“Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan, fasiliti kesihatan berisiko banjir telah dikenal pasti, termasuk fasiliti alternatif sekiranya berlaku gangguan operasi.
“Persediaan turut meliputi perlindungan aset dan peralatan perubatan serta perancangan pemindahan awal pesakit berisiko tinggi, termasuk ibu hamil dan pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
