Berita

Projek sakit: Ketua jabatan, agensi perlu turun padang teliti permasalahan dihadapi

Kerajaan memandang serius isu projek pembangunan sakit dan bermasalah termasuk kelembapan dalam perbelanjaan peruntukan yang telah diluluskan demi kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu projek pembangunan yang berstatus sakit, lewat daripada jadual serta kelembapan dalam perbelanjaan peruntukan menjadi perhatian utama Kerajaan MADANI.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan pembangunan yang besar untuk dilaksanakan oleh kementerian dan agensi di seluruh negara. 

“Maka menjadi tanggungjawab setiap ketua jabatan dan agensi untuk turun sendiri ke lapangan dan meneliti permasalahan yang dihadapi.

“Malah ketua-ketua ini perlu memahami kesukaran yang menghambat pelaksanaan sebelum segera mencari jalan penyelesaian,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Tegas beliau, semua pihak tidak boleh sekadar berpuas hati apabila peruntukan telah diumumkan dan diluluskan, sedangkan pelaksanaan di lapangan masih tertangguh. 

Dalam masa sama, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada semua yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

“Tahniah kepada semua yang telah memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” ujar beliau lagi. -MalaysiaMADANI