Berita

PM jadi orang tengah bantu selesai masalah Orang Asli Kampung Sungai Cot

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil maklum perkara yang dibangkitkan wakil masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran, Pahang dan Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA).

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim dan menyatakan Perdana Menteri menghubungi wakil masyarakat Orang Asli tersebut bagi mendengar sendiri permasalahan dihadapi.

Berhubung pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot, beliau berkata, Perdana Menteri menegaskan bahawa perkara tersebut akan dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri Pahang, memandangkan urusan pentadbiran dan pemilikan tanah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada Kerajaan Negeri dalam urusan tanah. 

“Namun begitu, beliau tidak pernah berdiam diri. Beliau akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dengan mengangkat isu ini kepada Kerajaan Negeri agar penyelesaian dapat dicapai segera secara adil, berhemah dan berlandaskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, dalam keghairahan segelintir pihak meraih keuntungan politik, jangan sama sekali fakta serta prinsip Perlembagaan diputar belit sehingga mengelirukan rakyat. 

Tegasnya, perbuatan mengaburkan batas bidang kuasa bukan sahaja tidak membantu masyarakat Orang Asli, malah hanya akan melambatkan usaha mencari penyelesaian yang adil dan tuntas.

Justeru itu menurutnya, Kerajaan Negeri Pahang diseru agar tidak lagi berlengah dan segera melaksanakan tanggungjawab di bawah bidang kuasa yang ada. 

“Hak serta kebajikan masyarakat Orang Asli tidak boleh terus terkesan akibat kelewatan membuat keputusan. 

“Mereka berhak memperoleh penyelesaian yang adil, bermaruah dan tanpa penangguhan,” ujarnya. -MalaysiaMADANI