Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 berhubung kejadian sebuah bangunan, Maju Link B2 Tower, Jalan Lingkaran Tengah 2 yang dilaporkan mengalami gegaran.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kuala Lumpur berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku jam 12:32 tengah hari pada Rabu.
Katanya, susulan panggilan kecemasan tersebut, pihak bomba menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi terbabit melibatkan sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dengan kekuatan seramai enam orang anggota.
Menurut Komander Operasi, PBK II Nur Ariffin Mantali berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi didapati hampir kesemua penghuni bangunan telah keluar dan berkumpul di kawasan selamat sebagai langkah berjaga-jaga.
“Menurut pemanggil, beliau merasai gegaran pada bangunan tersebut selama kira-kira 15 saat sebelum bertindak meninggalkan bangunan dan berkumpul di kawasan selamat,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur bangunan dan mendapati tiada sebarang rekahan atau kerosakan struktur dikesan.
Menurut beliau, bangunan tersebut disahkan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk diduduki semula.
Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kejadian dipercayai berpunca daripada satu gempa bumi berukuran 5.7 magnitud yang berlaku pada jarak 55 kilometer (km) barat daya Langsa, Indonesia.
“Gegaran daripada gempa bumi tersebut turut dapat dirasai di beberapa kawasan di Malaysia. Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 1.06 petang,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
