Berita

Kerjasama YDN, Aras Integrasi bantu semua SBP jadi perintis platform pintar AISLE

Keperluan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi pelajar adalah satu kemestian yang perlu disediakan di peringkat sekolah, seterusnya dapat meningkatkan tahap penguasaan dan kemahiran menerusi pemantauan guru.

Usaha murni tersebut mendapat perhatian sewajarnya menerusi kerjasama strategik antara Yayasan Didik Negara (YDN) dan Aras Integrasi Sdn Bhd (Aras Integrasi) yang dimeterai di Aras Integrasi Sovereign Edge 2026 (AISE’26).

YDN berkata, semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara bakal menjadi lokasi perintis pengenalan platform pintar ‘AI in Student Learning Environment’ (AISLE).

Menurutnya, inisiatif tersebut membuktikan komitmen berterusan negara dalam membina ekosistem pendidikan masa depan yang holistik.

“Antara fokus utama platform AISLE adalah melibatkan pembangunan holistik iaitu membina daya tahan emosi, kemahiran metakognisi dan kepimpinan murid,” kata YDN menerusi laman media sosialnya.

Selain itu katanya, inisiatif itu mampu memperkasakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam bidang tersebut.

Tambahnya, bagi memastikan keselamatan dan privasi terjamin, pelaksanaan dilakukan adalah menitikberatkan konsep AI berdaulat dengan ciri perlindungan keselamatan psikologi yang direka khas mengikut peringkat umur serta mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di bawah kawal selia Malaysia.

“Teknologi dan kesejahteraan murid kini seiring dalam membentuk generasi masa depan yang berdaya saing dan beretika,” ujarnya. -MalaysiaMADANI