Membasmi gejala penagihan dadah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terus memperkukuh usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah di Sabah melalui pendekatan menyeluruh berasaskan komuniti.
KDN berkata, inisiatif itu dilaksanakan secara bersepadu bagi meningkatkan kesedaran awam, memperkukuh daya tahan masyarakat serta mengurangkan risiko penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan golongan berisiko.
Katanya, berdasarkan statistik AADK bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, seramai 3,553 individu dikenal pasti terlibat dengan penyalahgunaan dadah di Sabah.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 3,459 kes melibatkan dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) yang kekal sebagai jenis dadah paling dominan,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.
Bagi menangani cabaran tersebut, KDN berkata, AADK melaksanakan Model i-Cegah yang mengintegrasikan pendekatan pencegahan umum, selektif dan berfokus mengikut kumpulan sasaran.
Menurutnya, pelbagai program turut diperkasakan di peringkat komuniti dan institusi pendidikan, antaranya Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD), SKUAD Antidadah, Kem PINTAR 2.0, Kem Eksplorasi Potensi Murid (EPM), Program Siswa Aktif, Gagasan Aspirasi (SAGA), Program Keluarga Prihatin serta Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD).
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan turut meluluskan pembinaan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Tawau di bawah Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dengan peruntukan sebanyak RM157.03 juta bagi meningkatkan kapasiti rawatan dan pemulihan, khususnya di Zon Pantai Timur Sabah.
“KDN akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama semua agensi berkaitan dan masyarakat bagi memastikan usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan dilaksanakan secara holistik ke arah membina komuniti bebas dadah serta memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan negara,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
