Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan rasmi ke Jepun semalam dengan mengadakan sidang media bersama kumpulan wartawan Malaysia yang mengikuti delegasi sepanjang kunjungan tersebut.
Beliau menzahirkan rasa syukur di atas lawatan yang penuh bermakna itu kerana semuanya berlangsung dengan baik dan mencapai matlamat diinginkan.
“Kita telah memperkukuh persahabatan Malaysia-Jepun, meneroka peluang kerjasama baharu serta menarik pelaburan serta perdagangan berkualiti ke Malaysia untuk manfaat rakyat dan negara,” kata beliau menerusi laman media rasminya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Jepun dan rakyat di negara itu atas sambutan yang amat mesra serta persahabatan yang dihulurkan sepanjang kunjungan itu.
Jelas beliau, hubungan yang dibina selama puluhan tahun itu akan terus menjadi asas kepada keyakinan, kepercayaan serta kerjasama yang semakin erat.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo yang telah bekerja keras menjayakan lawatan rasmi tersebut.
Tambahnya lagi, penghargaan khas buat Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany yang menutup lembaran tugas diplomatiknya hari ini (semalam), seusai berakhirnya lawatan rasmi itu dilaksanakan.
“Saya tinggalkan negara ‘matahari terbit’ ini dengan penuh keyakinan bahawa persahabatan Malaysia-Jepun yang telah berakar sejak sekian lama akan terus subur, menjangkau generasi dan melimpahkan kemakmuran buat rakyat kedua-dua negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
