Berita

Kerjasama KDN dan MOTAC bantu tingkat sektor pelancongan negara, persekitaran selamat

Penglibatan antara kementerian dalam memperkukuh kerjasama strategik demi keselamatan dan kemajuan negara terus dipertingkatkan.

Usaha sama itu dibuktikan menerusi kunjungan hormat Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, pertemuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua kementerian dalam memastikan pembangunan sektor pelancongan, seni dan budaya negara terus berkembang dalam persekitaran yang selamat, teratur serta kondusif.

“Aspek keselamatan merupakan antara elemen penting dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongan negara,” kata KDN menerusi laman media rasminya.

Menurutnya, melalui kerjasama erat antara kementerian, usaha tersebut mampu memperkukuh kawalan sempadan dan memudah cara kemasukan pelancong yang sah.

Selain itu katanya, hubungan baik antara kementerian berupaya memastikan ketenteraman awam dapat terus diperkasakan, demi meningkatkan keyakinan pelancong dan pelabur terhadap Malaysia.

Tambahnya, pertemuan dua menteri tersebut turut menyentuh usaha memajukan Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan destinasi pelancongan warisan bertaraf dunia.

Jelasnya, langkah seumpama itu menyokong aspirasi kerajaan untuk merancakkan ekonomi tempatan dan memperluas potensi sektor pelancongan negara.

“Sinergi antara KDN dan MOTAC ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara pembangunan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. -MalaysiaMADANI