Berita

PM ucap tahniah, Modi cipta sejarah tersendiri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi kerana melakar sejarah tersendiri sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat di negara itu.

Beliau berkata, Modi berjaya mencipta kejayaan bersejarah sebagai Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi paling lama berkhidmat dalam sejarah India.

Kata beliau, pencapaian tersebut menjadi bukti kepada dedikasi beliau selama bertahun-tahun dalam perkhidmatan awam serta kepimpinan beliau dalam memacu pembangunan, kemakmuran dan kedudukan India di persada dunia.

“Malaysia menghargai hubungan persahabatan yang erat dan sekian lama terjalin dengan India. 

“Saya menantikan kesinambungan kerjasama antara kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas peluang yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri turut mendoakan agar rakan sejawatnya itu terus mencapai kejayaan dan rakyat India terus menikmati keamanan, kemajuan serta kemakmuran yang berterusan. -MalaysiaMADANI