Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi ke Jepun dengan mengadakan pertemuan dengan sahabat lamanya yang juga Pengerusi Yayasan Keamanan Sasakawa, Tan Sri Yohei Sasakawa.
Dalam pertemuan berkenaan, Anwar sempat menghimbau sejarah panjang kerjasama yang terjalin sejak sekian lama, termasuk menerusi Forum 2000 yang diasaskan oleh bekas Presiden Czech, Václav Havel.
Forum berkenan menghimpunkan pemimpin, cendekiawan dan pemikir dunia untuk membincangkan isu demokrasi, hak asasi manusia, keamanan dan masa depan peradaban sejagat.
“Kami turut mengenang usaha memperkasa generasi muda Asia Tenggara menerusi pelbagai program pembangunan kepimpinan yang berpaksikan gagasan Asian Renaissance, bagi melahirkan pemimpin yang berakar pada nilai, budaya dan kemanusiaan.
“Saya zahirkan penghargaan atas sumbangan besar Tan Sri Sasakawa kepada usaha kemanusiaan di seluruh dunia sejak sekian lama,” katanya.
Dalam pertemuan sama, Anwar sempat bertukar pandangan mengenai krisis antarabangsa yang kian meruncing, termasuk situasi di Myanmar, konflik Israel-Iran serta tragedi kemanusiaan yang berterusan di Palestin.
Katanya, usaha mewujudkan keamanan perlu terus didukung oleh pemimpin dunia dan masyarakat antarabangsa.
“Keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui dialog, persefahaman dan komitmen bersama untuk menegakkan keadilan,” katanya. – MalaysiaMADANI
