Malaysia perlu berubah dan tidak lagi bergantung kepada pendekatan lama ketika mana suasana geopolitik dan ekonomi global menjadi semakin mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perancangan pembangunan negara harus beralih kepada model yang lebih inovatif serta dinamik.
Selain itu kata beliau, pembangunan negara juga tidakboleh bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan semata-mata.
“Hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-50 dan mengambil kesempatan tersebut untuk turut menyentuh perkembangan mutakhir berkaitan konflik di Asia Barat.
“Mesyuarat ini telah meneliti pelbagai aspek perancangan fizikal negara dengan penekanan kepada pertumbuhan yang seimbang dan mampan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Jelas Perdana Menteri lagi, perancangan fizikal negara turut melibatkan usaha memperkasa ekonomi tempatan serta memastikan penggunaan tanah yang lebih optimum dan berimpak tinggi.
Tegas beliau, Kerajaan MADANI kekal komited untuk mengangkat kualiti hidup rakyat kepada tahap lebih baik melalui penyediaan perumahan mampu milik yang berkualiti.
Selain itu menurut beliau, kerajaan juga akan berusaha meningkatkan sistem mobiliti yang lebih cekap serta pembangunan persekitaran bandar yang selesa dan lestari.
Tambah beliau lagi, pembangunan fizikal negara perlu berteraskan kesejahteraan rakyat, selain mempunyai perancangan tersusun dan pelaksanaan yang jauh lebih berkesan.
“Insya-Allah, kita akan terus memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
