Dua kanak-kanak yang kehilangan bapa dalam nahas jalan raya menyayat hati dan tular di Klang baru-baru ini diambil sebagai anak angkat Majlis Amanah rakyat (Mara) di bawah Yayasan Pelajaran Mara.
Perkara itu diumumkan sendiri Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menghubungi ibu Allahyarham Amirul Hafiz Omar, yang dikenali Faridah menerusi panggilan video.
“Inisiatif itu adalah sebagai rasa tanggungjawab dan keprihatinan selain bukan sekadar bantuan sementara tetapi satu komitmen jangka panjang bagi memastikan pendidikan mereka terus terbela.
“Bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang akan disalurkan di peringkat sekolah rendah dan ditingkatkan kepada RM150 apabila mereka melangkah ke sekolah menengah,
“Selain pemantauan berterusan sehingga mereka menamatkan persekolahan,” katanya.
Allahyarham Amirul Hafiz Omar, penghantar barang dilaporkan maut selepas kereta yang didakwa dipandu pemandu mabuk merempuh motosikalnya ketika dalam perjalanan untuk membeli buku matematik anak lelaki sulung.
Asyraf Wajdi juga menitipkan kata-kata semangat untuk Muhammad Aqif Amsyar dan Muhammad Afif Izz Rayqal untuk terus kuat dan tabah serta supaya belajar bersungguh-sungguh.
“Insya-ALLAH, Mara akan sentiasa bersama kalian dalam membina masa depan yang lebih baik. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas arwah dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.- MalaysiaMADANI
