Berita, Siaran Media

‘Sebar maklumat palsu ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi adalah pengkhianatan kepada negara dan masyarakat’ – PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC)  diarah mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu berkaitan harga minyak dan elektrik yang dikesan semakin berleluasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga kini MCMC telah mengesan sebanyak 96 kandungan berita palsu berkaitan kenaikan harga minyak dan elektrik di media sosial.

“Penyebaran maklumat tidak benar itu berlaku ketika negara berdepan cabaran luar biasa susulan krisis tenaga global sekali gus boleh menjejaskan kestabilan dan mengelirukan rakyat

“Kita bekerja dalam keadaan yang luar biasa dengan cabaran yang meningkat tetapi ini tidak mungkin memadamkan kerenah orang-orang yang terus berdusta, membenci, sabotaj dan khianat… berapa banyak berita-berita palsu tentang kenaikan harga minyak, tentang kenaikan harga barang kerana dasar-dasar yang tidak benar,” katanya.

Tegas beliau, tindakan tegas perlu diambil kerana penyebaran berita palsu itu dilihat sebagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan memberi kesan kepada rakyat.

“Kita tidak ada pilihan melainkan memohon pihak berkuasa, baik PDRM atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan kerana setakat ini, MCMC telah mengesan 96 kandungan berita palsu mengenai harga minyak dan elektrik di media sosial,” tegas beliau.

Beliau pada masa sama menyifatkan tindakan menyebarkan maklumat tidak benar ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi merupakan satu bentuk pengkhianatan kepada negara dan masyarakat.

Atas dasar itu, orang ramai digesa supaya lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat khususnya di media sosial.

“Saya ingin sekali lagi menyeru rakyat (agar) memilih, menyaring berita serta mencari fakta yang betul, dan cuba sama-sama memantau keadaan, semak dengan rapi serta mengambil langkah untuk menyelamatkan keluarga, masyarakat dan negara kita,” katanya. – MalaysiaMADANI